1. Soalan daripada En. Razak – Pejabat Tanah Seberang Prai Selatan
Pada hari siasatan dijalankan oleh Pentadbir Tanah, pemilik yang hadir menyatakan masih ada pemilik lain (dalam lot yang sama ) tidak hadir pada hari tersebut kerana tidak diberikan Borang E. Apakah tindakan yang mesti diambil oleh Pentadbir Tanah?
Jawapan:
Pentadbir Tanah hendaklah menangguhkan sisatan tersebut dan menetapkan suatu tarikh siasatan yang baru untuk semua pemilik tanah sama ada yang telah mendapat Borang E dan yang belum mendapat borang tersebut untuk hadir kerana mengikut seksyen 12(3) Akta Pengambilan Tanah 1960, “Pentadbir Tanah boleh bagi sesuatu sebab yang memadai untukdirekodkan olehnya secara bertulis menunda apa-apa siasatan atau menangguh apa-apa perbicaraan mengenai sesuatu siasatan dari semasa ke semasa” Ini dilakukan untuk mengelak supaya tuan punya tanah yang tidak mendapat Borang E membuat bantahan ke Mahkamah dan yang lebih penting untuk memenuhi kehendak Perkara 13(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan ‘pampasan yang mencukupi’.
Tindakan seterusnya, Pentadbir Tanah hendaklah menyerahkan Borang E (tarikh siasatan seperti yang ditetapkan) kepada pemilik yang belum mendapat borang tersebut dan surat pentadbiran biasa kepada yang telah diberikan Borang E sebelum ini. Tarikh tanda tangan Borang E bolehlah mengikut tarikh tandatangan Borang E sebelum ini. Borang E yang akan diserahkan kepada pemilik yang belum memperolehinya, bolehlah diserahkan bila-bila masa sebelum tarikh siasatan baru, walaupun tempohnya singkat. Ini tidak bertentangan dengan seksyen 10(2) Akta Pengambilan Tanah 1960 kerana seksyen tersebut (10{2}) hanyalah berkaitan dengan notis awam Borang E yang mana tarikh siasatan mesti dibuat tidak kurang 21 hari dari tarikh notis awam ditampal (posted) dan bukannya notis individu Borang E yang diberi kepada pemilik tanah.
2. Soalan dari bekas peserta kursus INSTUN
Tanah terlibat dengan pengambilan dan digadai kepada institusi kewangan. Bagaimana/kepada siapa bayaran pampasan harus diberikan. Katakan amaun baki pinjaman tuan tanah dengan institusi tersebut adalah kecil berbanding dengan amaun pampasan yang akan diterima?
Jawapan:
Kedua-dua pihak iaitu tuanpunya tanah dan pemegang gadai (orang berkepentingan) yang diberi Borang E mengikut seksyen 11(1) Akta Pengambilan Tanah 1960 akan hadir semasa siasatan dijalankan. Padaketika itulah Pentadbir Tanah boleh membuat keputusan apabila dipersetujui oleh kedua-dua pihak bagaimana dan kepada siapa bayaran pempasan akan dibuat. Jika pemegang gadai bersetuju menerima baki hutang sahaja dan selebihnya dibayar kepada tuan punya tanah, Pentadbir Tanah bolehlah berbuat demikian dan sebaliknya.
3. Soalan dari En. Jonathan Pen. Pentadbir Tanah Timur Laut
Kes ini berlaku LIMA tahun yang lalu. Keseluruhan satu tanah terlibat dengan pengambilan. Semasa siasatan, orang berkepentingan tidak hadir dan Pentadbir Tanah membuat perintah secara ex-parte. Wang pampasan (berjuta?) disimpan di Mahkamah dan seterusnya Pentadbir Tanah mengeluar dan mengendors Borang K di dalam DHKK. Tidak berapa lama selepas itu, pemohon memberitahu Pentadbir Tanah bahawa projek tidak dapat diteruskan dan ingin mendapatkan kembali wang pampasan yang tersimpan di Mahkamah. Melalui Saman Dalam Kamar dan Affidavit, pemohon dapat mengeluarkan wang tersebut. MINTA BERI KOMEN.
Jawapan:
i. Sisatan secara ex-parte yang dijalankan oleh Pentadbir Tanah adalah dibolehkan. Ini dinyatakan dibawah seksyen 14(2) Akta Pengambilan Tanah 1960. Walau bagaimanapun untuk memenuhi kehendak Perkara 13 (2) Perlembagaan Persekutuan, Pentadbir Tanah sepatutnya memanggil sekali lagi orang berkepentingan supaya menghadiri siasatan kerana ketidakhadiran semasa siasatan pertama di adakan yang menyebabkan Pentadbir Tanah membuat perintah secara ex-parte.
ii. Mengikut seksyen 66 Akta Pengambilan Tanah 1960, apabila endorsan telah dibuat oleh Pentadbir Tanah mengikut seksyen 23, tanah tersebut telah menjadi ‘Tanah Kerajaan” seterusnya tuan punya tanah telah hilang haknya ke atas tanah tersebut dan mengikut seksyen 35(1) Akta yang sama, apabila ambil milik (penyerahan Borang K) telah berlaku, penarikan tidak boleh dibuat.
iii. Ikrar/sumpah Pentadbir Tanah? dalam Affidavit untuk pengeluaran wang pampasan adalah ikrar/sumpah yang salah (menipu) kerana wang pampasan tersebut adalah menjadi hak pemilik tanah bukan lagi hak pemohon kerana semasa proses penyimpanan wang tersebut ke Mahkamah sebelum ini, Pentadbir Tanah telah membuat ikrar/sumpah dalam affidavit bahawa wang tersebut disimpan kerana tuan tanah tidak hadir. Jadi tindakan tersebut adalah salah.
Pada pandangan saya ada DUA cara untuk menyelesaikan masalah tersebut:
i. Pemohon pulangkan semula wang pampasan yang telah dikeluarkan kepada tuan punya tanah yang asal dan seterusnya pemohon memohon milik kerana tanah tersebut telahpun menjadi ‘Tanah Kerajaan’
ii Jika pemohon tidak berkehendakkan tanah tersebut, tuan punya tanah yang asal diminta supaya mengemukakan permohonan untuk mendapatkan semula tanah itu dan Pejabat Tanah/PTG mesti dapat memberikan penjelasan terperinci peristiwa tersebut kepada EXCO supaya EXCO dapat mengecualikan bayaran premium kepada pemohon.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan