Isnin, 5 September 2011

Soal Jawab Akta Pengambilan Tanah Siri 3

1.            Masalah Pejabat Tanah Rompin
Dalam tahun 2009, Pejabat Tanah memproses permohonan pengambilan tanah daripada Tenaga Nasional Berhad. Nilaian tanah yang diberikan oleh JPPH adalah RM334,729.00 dan TNB telah mendepositkan 50% daripada jumlah tersebut sepertimana yang diperuntukkan dibawah Kaedah 5(1)(a) Kaedah Pengambilan Tanah 1998, tetapi baki 75% yang diperuntukkan dibawah Kaedah 5(1)(b) tidak dijelaskan. Dalam tahun 2011, Pentadbir Tanah memerintahkan bayaran pampasan sebanyak RM400,000.00 tetapi tuanpunya tanah masih membantah ke Mahkamah mengikut seksyen 37 Akta Pengambilan Tanah 1960.
 Soalan:
 1.            Adakah TNB boleh mengambil tanah mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960?
 2.            Bagaimana bayaran pampasan akan dibuat kepada tuanpunya tanah?
 3.            Bagaimana bantahan yang dibuat oleh tuan punya tanah?

Jawapan:
 1.            TNB boleh mengambil tanah mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960, tetapi proses pengambilannya melalui s3(1)(b) untuk kemudahan awam seperti pencawang, empangan atau stesyen janakuasa. Untuk kuarters melalui s3(1)(c), sementara  untuk talian penghantaran melalui Akta Bekalan Elektrik 1990
 2.            Bayaran pampasan yang didepositkan adalah RM167,364.50 (50% daripada 334,729.00). Pampasan yang diawardkan adalah RM400,000.00. Oleh yang demikian Pentadbir Tanah  hendaklah memohon kepada TNB membayar baki pampasan sebanyak  RM232,635.50 untuk dibayar kepada tuan tanah, sementara RM167,364.50 dikeluarkan daripada perbendaharaan  negeri (yang telah didepositkan sebelum ini)
 3.            Tuan punya tanah masih boleh membuat bantahan ke Mahkamah mengikut seksyen 37 Akta Pengambilan Tanah jika beliau masih tidak berpuashati dengan award yang diberikan oleh Pentadbir Tanah dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan  oleh Akta tersebut.

2.            Soalan melalui SMS
                Satu siasatan pengambilan tanah untuk projek jalan raya telah dijalankan tetapi ditangguhkan kerana pihak JKR tiada peruntukan. Borang E telah dikeluarkan. Bila pihak JKR telah mempunyai peruntukan dan ingin meneruskan pengambilan, siasatan seterusnya mesti diadakan. Untuk siasatan tersebut perlu atau tidak Borang E ditampal dan diserahkan kepada orang berkepentingan?

Jawapan:
                Mengikut seksyen 12(3) Akta Pengambilan Tanah 1960, siasatan boleh ditangguhkan tetapi mesti direkodkan. Apabila siasatan semula dilaksanakan (dalam tempoh 2 tahun dari tarikh warta seksyen 8), Borang E tidak perlu lagi ditampal dan diserahkan kepada semua orang  berkepentingan. Orang berkepentingan dimaklumkan mengenai tarikh siasatan yang baru melalui surat rasmi pejabat sahaja.

3.            Soalan dan perbincangan dari/dengan En. Jaiya bin Abu KPP Pej Pengarah Tanah dan Galian N. Sembilan
                Sebahagian daripada satu lot terlibat dengan pangambilan tanah. Pampasan yang diawardkan  oleh Pentadbir Tanah katakan RM130,000.00. Dalam masa yang sama tuan punya tanah mempunya tunggakan cukai tanah katakan RM1,500.00. Pentadbir tanah memerintahkan supaya bayaran pampasan yang akan dibayar mesti ditolak terlebih dahulu dengan cukai yang tertunggak. Bolehkan ianya dilakukan?

Jawapan:
                Pada pandangan saya, pampasan hendaklah dibayar sepenuhnya kepada tuan tanah.   Sepatutnya jika ada tunggakan cukai, Pentadbir Tanah hendaklah mengambil tindakan mengikut seksyen 97 Kanun Tanah Negara. Oleh kerana tindakan tidak dibuat kesalahan terletak ke atas Pentadbir Tanah.


Mengikut Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan pula:
 (1)         Tiada seorangpun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang
 (2)         Tiada sesuatu undang-undang boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan  harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.
Oleh yang demikian berdasarkan Perkara 13(2) Perlembagaan, pampasan yang diaward MESTI dibayar sepenuhnya (Pampasan yang mencukupi)
Sebelum ini pernah berlaku perkara yang sama di Negeri Perak, Yang Berhurmat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak setelah diminta nasihat mengenainya, menyatakan tunggakan cukai tanah TIDAK BOLEH ditolak dari amaun pampasan tanah yang diawardkan.

4.            Soalan Perbincangan daripada Tenaga Nasional Berhad
Untuk pembekalan tenaga elektrik, TNB dan pemegang lesen dipertanggungjawab untuk membina pencawang , empangan, janakuasa dan memasang talian bekalan (talian voltan  rendah atau tinggi). Untuk tujuan itu TNB/pemegang lessen mesti mendapatkan tanah sama ada melalui Akta Bekalan Elektrik (untuk talian penghantaran) atau Akta Pengambilan Tanah (untuk tapak pencawang, empangan atau stesen janakuasa). Mulai tahun 2011, oleh kerana bantahan dari tuanpunya tanah dan beberapa buah kerajaan negeri, pihak pengurusan tertinggi TNB memutuskan, TNB hanya mengunakan Akta Bekalan Elektrik untuk talian ke kampong atau ke rumah dan selain daripada itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah (termasuk untuk talian voltan tinggi).
Isu sekarang boleh kah TNB menggunakan peruntukan seksyen 3(1)(a) untuk tujuan pembinaan tapak pencawang, empangan/stesen janakuasa dan talian penghantaran

Jawapan dan Pandangan
s3(1) PBN boleh mengambil mana-mana tanah yang diperlukan:
a)            bagi apa-apa maksud/tujuan awam
b)           oleh mana-mana orang atau perbadanan (corporation) bagi apa-apa maksud yang pada pendapat PBN memberi faedah untuk kemajuan ekonomi Malaysia atau mana-mana bahagian dari itu atau kepada orang ramai secara am atau mana-mana klas orang ramai; atau
c)           bagi maksud perlombongan atau bagi kediaman, pertanian, perniagaan,perindustrian, atau maksud-maksud rekreasi atau mana-mana gabungan daripada maksud-maksud tersebut.
Berdasarkan peruntukan seksyen di atas, dibawah s 3(1)(a), hanya Pihak Berkuasa Negeri sahaja yang boleh mengambil  tanah mengikut seksyen tersebut.
Menurut pandangan daripada   Peguam Negara pula melalui suratnya bilangan PN(ARV) 2953 Jld VII bertarikh 4 Januari 2002, telah memutuskan bahawa, suatu badan yang ditubuhkan sebagai suatu perbadanan tidak pula dengan sebab perbadanannya terpaksa mengambil tanah di bawah perenggan 3(1)(b). Parlimen juga telah menggubal undang-undang yang lain yang memberi kuasa kepada badan berkanun untuk mengambil tanah dibawah perbagai Akta Parlimen yang mana telah memperuntukkan bahawa suatu pengisytiharan mengenai pengambilan tanah sedemikian hendaklah disifatkan sebagai tujuan awam. Oleh yang demikian, badan-badan berkanun yang mempunyai kuasa untuk mengambil tanah secara paksa dibawah undang-undang penubuhannya boleh mengambil tanah di bawah perenggan 3(1)(a) bagi suatu tujuan yang dengannya badan berkanun itu telah ditubuhkan dan tujuan sedemikian hendaklah disifatkan sebagai tujuan awam.
                Pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian juga telah mengeluarkan Pekeliling Persuruhjaya Tanah Persekutuan Bil. 1 Tahun 2003 dan Bil. 1 Tahun 2005. Di dalam pekeliling tersebut juga menyatakan hal yang sama dan TIDAK MEMASUKKAN TNB di dalam senarai pihak yang boleh mengambil tanah mengikut seksyen 3(1)(a)  

                Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, pada pandangan saya TNB TIDAK BOLEH mengambil tanah melalui seksyen 3(1)(a) untuk sebarang tujuan dan TNB HANYA BOLEH mengambil tanah melalui s 3(1)(b) untuk pembinaan pencawang elektrik, talian penghantaran bekalan elektrik, empangan/stesen janakuasa. Sementara itu TNB juga boleh mengambil tanah mengikut seksyen 3(1)(c) untuk tujuan pembinaan pejabat, kuarters dan sebagainya kerana di bawah seksyen 3(1)(b),(c) jelas menyatakan pihak yang boleh mengambil tanah mengikut seksyen tersebut adalah ORANG ATAU PERBADANAN (CORPORATION)

5.            Soalan daripada En. Mohammad, Pejabat Tanah dan Galian Kedah
                Perintah yang dibuat oleh Pentadbir Tanah untuk setiap orang berkepentingan adalah RM1,300.00 dan jumlah keseluruhan pampasan yang melibatkan orang berkepentingan yang lain untuk satu lot tersebut adalah RM10,200.00. Bolahkah tuan tanah/orang berkepentingan tersebut membuat bantahan ke Mahkamah?

Jawapan:
                Mengikut seksyen 38(1)  Akta Pengambilan Tanah, setiap orang berkepentingan yang membuat bantahan mesti mengisi Borang N dan membayar deposit sebanyak RM3,000.00 atau 10% daripada amaun dituntut mana yang kurang. Sementara mengikut seksyen 37(2) bantahan   hanya boleh dibuat jika amaun pampasan yang diawardkan berkenaan dengan apa apa  kepentingan mestilah melebihi RM3,000.00. Jika kurang dari jumlah tersebut, award Pentadbir Tanah adalah muktamad dan tidak boleh membuat bantahan ke Mahkamah. Dalam persoalan di atas oleh kerana  setiap orang hanya memperolehi lebih kurang RM1,300.00, maka bantahan tidak boleh dibuat







Tiada ulasan:

Catat Ulasan