1. Soalan Dari Pejabat Tanah Rembau
10 lot terlibat dengan pengambilan, 7 lot telah selesai siasatan, sementara baki 3 lot siasatan tidak dapat diadakan kerana tuanpunya tidak dapat dikesan dan pejabat tanah sedang berusaha untuk mengesannya. Boleh atau tidak pejabat tanah menegeluarkan Borang G dan H untuk hanya 7 lot sahaja untuk tujuan mempercepatkan proses pengambilan?
Jawapan/Pandangan
i. BOLEH tetapi perintah untuk 3 lot mesti dibuat dalam tempoh 2 tahun dari tarikh warta seksyen 8 kerana menurut seksyen 8(4) Akta Pengambilan Tanah, jika perintah tidak dibuat dalam tempoh tersebut semua prosiding yang telah atau sedang diambil tamat dan tidak berkuatkuasa. Jika ini terjadi dan pengambilan ingin diteruskan, tanah tersebut mesti diwarta semula dibawah seksyen 8.
ii. Pentadbir Tanah juga boleh meneruskan siasatan untuk kesemua lot walaupun terdapat orang yang berkepentingan tidak dapat dikesan (Borang E tidak dapat diserahkan dan telah diusahakan buat kali kedua) dan seterusnya membuat perintah secara ex-parte kepada yang tidak hadir kerana dibolehkan oleh seksyen 14(2). Tindakan susulan adalah peneluaran Borang H untuk semua lot terlibat termasuk lot yang mana pemiliknya tidak hadir (Peringatan hendaklah dibuat iaitu Borang H tidak dapat diserahkan kerana pemilik tidak hadir). Seterusnya wang pampasan pemilik yang tidak hadir mesti disimpan di Mahkamah. Dengan itu proses pengambilan dapat diselesaikan serentak keseluruhannya dan tidak perlu menjalankan siasatan kali kedua untuk lot-lot tuan tanah yang tidak hadir.
2. Soalan Dari Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu
Di atas lot yang terlibat dengan pengambilan (luas diambil dalam warta kira-kira 2 ekar) terdapat sebuah bangunan (rumah). Pengambilan melibatkan pengeluaran Perakuan Kedesakan (BORANG I). Pihak pemaju ingin memasuki kawasan yang tidak melibatkan bangunan tersebut terlebih dahulu (luasnya kira-kira 1 ekar). Bagaimana prosedurnya dan boleh atau tidak Pentadbir Tanah keluarkan Borang K hanya untuk kawasan yang dimasuki terlebih dahulu (1 ekar) dan untuk baki 1 ekar (terdapat bangunan di atasnya) akan dikeluarkan Borang K setelah selesai siasatan, perintah dan bayaran pampasan kelak untuk mengelak pengeluaran Borang J dan caj bayaran lewat yang besar?
Jawapan/Pandangan:
i. Mengikut seksyen 20 Akta Pengambilan Tanah 1960, jika terdapat bangunan di atas tanah yang terlibat dengan pengambilan yang telah dikeluarkan Perakuan Kedesakan (Borang I), apabila tanah yang tiada bangunan telah diambil secara rasmi (formal possession) iaitu notis Borang K telah diserahkan mengikut seksyen 22, Pentadbir Tanah hendaklah menyerahkan Borang J kepada penduduk bangunan supaya mengosongkan bangunan dalam tempoh 60 hari dari tarikh notis tersebut dengan menawarkan pampasan bangunan. Mengikut seksyen 21(1), jika tuanpunya bersetuju, Pentadbir Tanah barulah boleh mengambil milik bangunan tersebut selepas tamat tempoh 60 hari, sebaliknya jika bangunan berstruktur kekal mengikut seksyen 21(2), ambil milik bangunan tidak boleh dibuat sehingga Pentadbir Tanah/dia? telah mendapat nilaian bangunan dari penilai yang diiktiraf (competent valuer). Dengan cara ini, mengikut seksyen 32(1C), caj bayaran lewat 8% mesti dibayar dan dikira mulai dari tarikh penyerahan Borang K sehingga bayaran pampasan dibuat dan merangkumi keseluruhan keluasan tanah yang diambil (2 ekar)
ii. Pentadbir Tanah boleh mengeluar dan menyerahkan Borang K yang merangkumi kawasan yang tidak melibatkan bangunan (1 ekar) terlebih dahulu supaya pemaju dapat memasuki tanah dan menjalankan kerja. Mulai dari tarikh penyerahan Borang K tersebut, caj bayaran lewat akan dikenakan. Kemudian selepas siasatan dan perintah dibuat oleh Pentadbir Tanah, barulah Pentadbir Tanah mengeluar dan menyerahkan Borang K untuk baki 1 ekar yang terdapat bangunan dan ini tidak melibatkan caj bayaran lewat kerana pengambilan biasa. Sayugia diingatkan supaya Pentadbir Tanah mempastikan jumlah keseluruhan keluasan pengambilan di dalam kedua-dua Borang K tersebut adalah keluasan pengambilan sebenarnya. Ini dibolehkan kerana pada pandangan saya, Jadual Borang D yang terdapat di dalam Borang K, boleh dipinda sebagaimana ayat di bawah Borang K tersebut.
3. Soalan Daripada Wan Arinie binti Mamat @ Wan Ahmad, Penolong Pengarah dan En. Mohd Zukri bin Sidek, Pengarah JKPTG Terengganu.
Caj 8% selepas pelarasan {seksyen 28 dan 32(2)} dikira dari tanah itu diambil milik atau pampasan yang dibayar, mengikut mana satu yang awal. Persoalan saya tarikh mana yang patut dikira? Adakah sehingga Pelan Akui (PA) oleh JUPEM?
Saya ada mendengar caj 8% dikira dari tarikh agensi membuat bayaran, berbeza dengan pandangan En. Baha yang dikira sehingga PA ditandatangani oleh Pengarah JUPEN. Mungkin En. Baha punya pandangan/rujukan seksyen tertentu dalam APT yang menyatakan caj 8% dikira sehingga PA ditandatangani. Mohon pandangan tuan jua.
Jawapan/Pandangan:
Seksyen 29A(3) ………………………………………………..
29A(4) ……………………………………………………
29A(5) ‘Pentadbir Tanah hendaklah membayar caj bayaran lewat dengan kadar 8% setahun ke atas tiap-tiap amaun yang dibayar dibawah subseksyen (3) atau (4) mulai dari masa bayaran tujuh puluh lima peratus daripada amaun award hingga amaun yang tersebut dahulu itu dibayar’. Dinyatakan tempoh pengiraan
Seksyen 32(1) menyatakan ‘pampasan yang lewat dibayar, caj bayaran lewat 8% dikira dari tarikh genap masa sehingga pampasan dibayar atau didepositkan’. Ada dinyatakan tempohnya.
Seksyen 32(1B) ada dinyatakan tempoh ‘Jika dalam sesuatu award yang pembayarannya tertakluk kepada subseksyen (1) seksyen 29A, tujuh puluh lima peratus daripada amaun yang diawardkan itu tidak dibayar atau didepositkan pada atau sebelum genap masa berhubung dengan tanah yang berkenaan dengannya award itu dibuat, Pentadbir Tanah hendaklah membayar caj bayaran lewat dengan kadar lapan peratus setahun ke atas amaun yang dibayar dibawah subseksyen (3) atau (4) seksyen itu mulai dari genap masa hingga masa tujuh puluh lima peratus daripada amaun yang diawardkan itu dibayar atau didepositkan. Ini berkaitan dengan seksyen 29A(1)
Seksyen 48 pula menyatakan ‘………………………………………………………………… Mahkamah itu boleh mengarahkan supaya Pentadbir Tanah itu membayar caj bayaran lewat itu pada lebihan pampasan tersebut dengan kadar lapan peratus setahun mulai tarikh Pertadbir Tanah mengambil milik tanah hingga lebihan pampasan tersebut dibayar kepada Mahkamah atau kepada orang yang berkepentingan itu. Juga dinyatakan tempoh pengiraan
TETAPI mengikut seksyen 32(2) berkaitan dengan pelarasan pembayaran pampasan tambahan/pengurangan selepas ukur halus dilaksanakan, caj bayaran lewat 8% dikira mulai dari tarikh tanah diambil milik atau pampasan dibayar, mengikut mana yang lebih awal TETAPI tidak dinyatakan sehingga bila. Inilah rasionalnya saya menyatakan bukan sehingga pampasan dibayar tetapi sehingga tarikh tanda tangan oleh Pengarah Ukur.
Selain daripada itu, jika kita lihat dalam ruangan ke 5 Jadual kepada Borang C/D/E ada perkataan anggaran, bermaksud keluasan pengambilan belum lagi muktamad, selepas ukur halus oleh JUPEM barulah ianya muktamad. Olih yang demikian bayaran pampasan yang kita bayar ke atas tanah adalah anggaran sahaja berdasarkan anggaran keluasan pengambilan. Sehubungan dengan itu tarikh PA ditanda tangani (disahkan) oleh Pengarah Ukur adalah tarikh keluasan pengambilan dan baki lot yang muktamad DAN DENGAN SEBAB ITULAH CAJ DIKIRA SEHINGGA TARIKH TERSEBUT.
4. Soalan Daripada Pen. Pentadbir Tanah Pejabat Tanah Kuala Terengganu.
Terdapat beberapa lot terlibat dengan pengambilan tanah untuk projek jalanraya. Dalam bulan Disember 2009, pihak kontraktor telah memasuki tanah tersebut untuk menjalankan kerja-kerja di atas persetujuan tuan-tuan punya tanah berdasarkan perakuan daripada Pen. Pentadbir Tanah Kuala Terengganu ketika itu untuk membayar caj bayaran lewat 8%, tetapi beliau tidak mengambil tindakan untuk mengeluar dan menyerahkan Borang K kepada orang berkepentingan. Proses pengambilan kemudiannya diambil alih oleh Pen. Pentadbir Tanah yang baru dalam tahun 2010 dan mengambil tindakan mengeluar dan menyerahkan Borang K kepada orang berkepentingan pada 9 November 2010 yang lalu. Persoalannya boleh atau tidak caj bayaran lewat dibayar bermula dari Disember 2009?
Jawapan/Pandangan:
Mengikut seksyen 32(1), apabila sesuatu pampasan yang diawardkan tidak dibayar pada atau sebelum genap masa, Pentadbir Tanah hendaklah membayar amaun tersebut beserta caj bayaran lewat 8% setahun mulai dari genap masa hingga masa pampasan tersebut dibayar kepada orang berkepentingan. Seksyen 32(1C) pula menyatakan ‘genap masa’ bermaksud tarikh tanah tersebut diambil milik (serah Borang K) atau ……………………………………………………………………………………
Berdasarkan kenyataan seksyen di atas, oleh kerana Borang K diserahkan pada 9 November 2010, caj bayaran lewat 8% hanya boleh dikira mulai dari tarikh tersebut (9 November 2010) dan tidak boleh dikira mulai Disember 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan