Ahad, 17 Mac 2013

Siasatan Pengambilan Tanah: Semasa dan Selepas


Seksyen 12(1) menyatakan, pada hari yang telah ditetapkan oleh Pentadbir Tanah untuk siasatan seperti di dalam  notis Borang E, Pentadbir Tanah hendaklah membuat siasatan penuh (full enquiry):

1. Tentang nilai tanah
2. Kepentingan semua orang yang menuntut pampasan
3. Bantahan yang dibuat, jika ada

Selepas selesai siasatan, Pentadbir Tanah hendaklah dengan secepat yang mungkin mentaksir amaun pampasan mengikut pertimbangan Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah.

Dalam Akta tersebut, tidak menyatakan dengan jelas prosedur siasatan. Walau bagaimanapun prosedur yang terdapat pada seksyen 31 dan seksyen 32 Kanun Tanah Negara, pada pendapat saya boleh digunapakai sebagai panduan.


Seksyen 31: Pati Keterangan dan sebab-sebab mengapa keputusan perlu direkodkan

Dalam menjalankan apa-apa siasatan maka tidaklah perlu bagi Pentadbir Tanah -

(a) untuk merekodkan keterangan mana-mana saksi sepatah demi sepatah, melainkan jika difikirkannya diingini untuk berbuat demikian, atau diminta oleh saksi itu atau oleh mana-mana orang lain yang hadir semasa siasatan dijalankan:

Dengan syarat bahawa Pentadbir Tanah hendaklah merekodkan pati apa-apa keterangan yang tidak dituliskan sepatah demi sepatah;

(b) untuk menulis apa-apa keputusan yang diberi atau perintah yang dibuat, kecuali dalam bentuk yang pendek dan padat, dengan menunjukkan sebab-sebab mengapa ia dibuat demikian.


Seksyen 32 Pemeriksaan rekod keterangan, dll

Rekod semua keterangan, sama ada lisan atau dokumentari, yang diambil oleh Pentadbir Tanah dalam mana-mana siasatan bersama dengan keputusan atau perintah mengenainya -

(a) hendaklah disediakan dalam suatu fail atau buku yang berasingan;

(b) hendaklah direkodkan dalam Bahasa Kebangsaan;

(c) hendaklah pada setiap masa yang munasabah, setelah suatu permohonan bertulis mengenainya dibuat, dibuka untuk pemeriksaan kepada mana-mana orang atau badan yang mempunyai kepentingan dalam siasatan itu, atau kepada ejennya yang diberi kuasa secara bertulis dengan sempurnanya, atau peguambela atau peguamcaranya, maka sesiapa jua dari mereka bolehlah, apabila membayar fee sepertimana yang ditetapkan, memperolehi salinan-salinan atau cabutan-cabutan darinya.

Berdasarkan seksyen 31 dan 32 Kanun Tanah Negara, semua keterangan dan perintah akan direkodkan/catatkan di dalam nota siasatan termasuk tarikh siasatan dan tarikh perintah tersebut

Seksyen 14(1) Akta Pengambilan Tanah, menghendaki Pentadbir Tanah menyediakan award/perintah di dalam Borang G apabila selesai siasatan dijalankan.

Seksyen 16(1) Akta Pengambilan Tanah pula menyatakan apabila perintah (Borang G) telah dibuat, Pentadbir Tanah hendaklah menyedia dan menyampaikan notis Borang H kepada setiap orang yang berkepentingan dan bersama dengan notis Borang H hendaklah disertakan cabutan dari award bertulis (Borang G).


BERDASARKAN SEKSYEN 31 DAN 32 KANUN TANAH NEGARA DAN SEKSYEN 14(1) DAN 16(1) AKTA PENGAMBILAN TANAH TERDAPAT LIMA TARIKH PENTING:

1. Tarikh siasatan 

2. Tarikh perintah dalam nota siasatan

3. Tarikh Borang G (Perintah)

4. Tarikh Borang H dan

5. Tarikh serah borang H

Persoalan yang sering menjadi tajuk perbincangan adalah tarikh perintah dalam nota siasatan, tarikh Borang G, tarikh Borang H dan tarikh serah Borang H, perlu satu tarikh yang sama atau boleh tarikh yang berbeza

Pada pendapat saya, ADALAH LEBIH BAIK jika dapat dibuat, tarikh dalam notis siasatan, tarikh Borang G, tarikh Borang H dan tarikh Borang H diserahkan ADALAH SATU TARIKH YANG SAMA. Ini telahpun dilaksanakan oleh Pejabat Tanah Daerah Kecil Pengerang. Walau bagaimanapun JIKA TIDAK BERKEMAMPUAN setiap tarikh tersebut BOLEH BERBEZA. Ini dapat dilihat dalam satu kes Mahkamah ia itu Kes Uda Holdings Bhd v Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur [2012] 6 MLJ 242



Tiada ulasan:

Catat Ulasan