Jumaat, 1 Mac 2013

Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447)

Kali ini kita akan membincangkan Akta Bekalan Elektrik 1990 (jarang dibincangkan) yang ada kaitan secara langsung dengan 'penggunaan tanah' untuk tujuan pengagihan bekalan elektrik seperti untuk pembinaan/pemasangan  talian voltan tinggi. Seksyen-seksyen yang berkaitan hanyalah seksyen-seksyen 10, 11,12,13,14,15 dan 16 sahaja.

Seksyen 10 membenarkan pemegang lesen atau orang yang diberi kuasa untuk memasuki tanah milik bertujuan menjalankan kerja-kerja pengukuran dan kajian kesesuaian tanah bagi maksud membina suatu pepasangan/sistem pengagihan tenaga dengan syarat:

a) Memberi notis kepada penduduk (jika ada) tidak kurang daripada 24 jam
b) Tidak boleh menyebabkan kerosakan atau gangguan

Untuk tanah rizab, notis boleh diberi kepada pegawai yang menjaga tanah rizab atau jika tidak ada kepada Pentadbir Tanah Daerah.

Seksyen 11 memberi kuasa kepada pemegang lesen untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan sistem pengagihan (jika perlu). Untuk tujuan tersebut  pemegang lesen dibenarkan meletak, menempat atau membawa apa-apa tiang dan kelengkapan sama ada diatas, dibawah atau melewati mana-mana tanah kecuali tanah kerajaan

Seksyen ini juga memberi kuasa kepada pemegang lesen mengambil apa-apa tindakan yang perlu untuk menjaga keselamatan dan kecekapan sistem pengagihan tersebut

Sebelum melaksanakan perkara di seksyen 11:

i. Pemegang lesen hendaklah memberi notis dalam Jadual Pertama kepada tuanpunya tanah atau penduduk  (tanah milik) dan kepada pegawai yang menjaga tanah rizab, jika tiada kepada Pentadbir Tanah (tanah rizab) secara pos berdaftar atau ditinggalkan ditempat tinggal biasa

ii. Pemunya atau penduduk boleh membuat bantahan terhadap tindakan yang akan dibuat oleh pemegang lesen secara lisan atau bertulis kepada Pentadbir Tanah dalam masa 14 hari selepas penerimaan notis Jadual Pertama. Pentadbir Tanah akan menyerahkan bantahan tersebut kepada Pihak Berkuasa Negeri dan pemegang lesen.

iii. Jika tiada bantahan, pemegang lesen boleh dengan serta merta memasuki tanah dan menjalankan kerja-kerja.

iv. Jika ada bantahan, Pentadbir Tanah hendaklah mengadakan siasatan pada tarikh seperti yang telah ditetapkan dalam Jadual Pertama. Selesai siasatan, Pentadbir Tanah hendaklah membuat perintah dalam Jadual Kedua sama ada membenar atau melarang tindakan oleh pemegang lesen

v. Jika ada pihak yang tidak berpuashati dengan perintah Pentadbir Tanah, boleh merayu kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam tempoh 21 hari selepas perintah dan keputusan Pihak Berkuasa Negeri adalah muktamad

vi. Pihak Berkuasa Negeri, jika difikirkan patut boleh mengarahkan tanah/bahagian tanah  tersebut diambil

LAZIMNYA JIKA TIADA BANTAHAN, TARIKH SIASATAN YANG TERDAPAT DI DALAM JADUAL PERTAMA DIGUNAKAN JUGA UNTUK  SIASATAN MENENTUKAN BAYARAN PAMPASAN YANG MENCUKUPI 

Pampasan:

Pampasan berdasarkan kepada TIGA aspek

1. Gangguan (Disturbance) - gangguan yang timbul akibat adanya talian penghantaran, seperti rumah, bangunan, pokok-pokok dan tanaman yang ada nilai ekonomi yang terpaksa dimunnahkan

2. Kerosakan (Damage) - kepada lain-lain harta

3. Ketidakupayaan (Disturbance) - berkaitan dengan tanah (amalan membayar 30% daripada nilai tanah terlibat)

Bayaran pampasan diatas ditaksirkan dalam Jadual Ketiga dan mana-mana orang yang tidak berpuashati boleh merayu kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam masa 21 hari selepas taksiran dan keputusannya adalah muktamad.

 
Endorsan:

Berdasarkan seksyen 11(10) Akta Bekalan Elektrik, pemegang lesen hendaklah kemukakan Jadual Pertama serta perakuan Pentadbir Tanah bahawa tiada bantahan atau jika ada bantahan, kemukakan Jadual Kedua untuk Pentadbir Tanah atau Pendaftar membuat ingatan/endorsan mengenai kewujudan  di dalam dokumen hakmilik daftar komputer


Perjanjian Izin-Lalu:

Berdasarkan seksyen 15 Akta Bekalan Elektrik pula, pemegang lesen boleh juga membuat perjanjian yang dikenali sebagai perjanjian izin lalu dengan tuan punya tanah atau penduduk mana-mana tanah bagi maksud membawa talian bekalan merentasi tanah tersebut.

Pemegang lesen akan mengemukakan salinan asal perjanjian kepada Pentadbir Tanah atau Pendaftar dan Pentadbir Tanah atau Pendaftar hendaklah membuat ingatan/endorsan di dalam dokumen hakmilik daftar komputer mengenai kewujudan perjanjian tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan