Isnin, 30 Julai 2012

Sambungan Pengambilan Tanah Di Bawah s3(1)(b)(c)

Untuk sambungan kali ini kita membicarakan tentang bayaran fee yang mesti dijelaskan oleh pemohon dan menjadi salah satu syarat permohonan pengambilan tanah dibawah seksyen 3(1)(b) dan (c)


FEE (Kaedah 4)
           
a.         Pengambilan tanah untuk kemudahan awam (jalan raya, landasan,  bekalan elektrik, paip gas, telekomunikasi, lampu jalan, pembetungan, peparitan)

Tidak lebih 10 orang berkepentingan       RM1,000.00
Tambahan setiap orang                           RM   100.00


         
Orang berkepentingan termasuklah tuan punya tanah, pemegang gadai, pemajak, pemasuk kaveat dan sebagainya

               
Contoh:

Pengambilan 1 lot tanah yang ada 10 orang berkepentingan
            
Jumlah Fee yang perlu dibayar adalah RM1,000.00

         

b.         Pengambilan tanah bukan untuk kemudahan awam (contoh: ambil tanah untuk buat perumahan)

Tidak lebih 10 orang berkepentingan      RM10,000.00
Tambahan seterusnya hingga 15             RM  1,000.00 setiap orang
Tambahan seterusnya hingga 20             RM  2,000.00 setiap orang
Tambahan seterusnya                               RM  3,000.00 setiap orang


Contoh:

Pengambilan 2 lot tanah yang ada 20 orang berkepentingan
                       
10 orang pertama                  RM10,000.00
  5 x RM1,000.00                     RM 5,000.00
  5 x RM2,000.00                     RM10,000.00

 Jumlah fee yang perlu dibayar adalah RM25,000.00
           


FEE MENJADI HASIL KERAJAAN NEGERI

Fee boleh dikecualikan oleh Pihak Berkuasa Negeri, jika pengambilan dibuat oleh Perbadanan Persekutuan atau Negeri yang berkuasa memegang tanah

Jumaat, 27 Julai 2012

Pengambilan Tanah di Bawah s3(1)(b) dan (c)

Assalamualaikum. Dari pertanyaan yang sampai kepada saya, masih terdapat rakan-rakan yang berkhidmat di pentadbiran tanah yang belum begitu jelas tentang proses pengambilan tanah di bawah seksyen 3(1)(b) dan (c) Akta Pengambilan Tanah 1960. Perbezaan yang ketara dengan pengambilan dibawah seksyen 3(1)(a) adalah daripada permohonan sehinggalah ke seksyen 4. Bermula dari seksyen 4 hingga selesai ianya adalah sama. Mulai hari ini saya akan menjelaskan proses pengambilan tanah dibawah seksyen 3(1)(b) dan (c) dalam beberapa siri untuk makluman semua pembaca.


SIAPA PEMOHON

Berdasarkan seksyen 3(1)(b) dan (c), pihak yang boleh mengambil tanah/pemohon adalah ‘mana-mana orang atau perbadanan’. Ini termasuklah orang perseorangan, pemaju perumahan, pihak swasta, semua badan/perbadanan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat, Akta Koperasi, Akta Parlimen, Enakmen Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Perbadanan Kemajuan Negeri-Negeri dan sebagainya. Dengan syarat boleh memiliki tanah mengikut Kanun Tanah Negara. Dengan kata lain semua pihak boleh mengambil tanah di bawah seksyen ini KECUALI pihak yang boleh mengambil tanah di bawah seksyen 3(1)(a) seperti Kementerian, Jabatan Persekutuan dan Negeri, Agensi-agensi yang di dalam undang-undang tubuhnya boleh mengambil tanah untuk maksud awam DAN TENAGA NASIONAL BERHAD (NEGERI JOHOR SAHAJA)


TANGGUNGJAWAB PEMOHON

Pemohon mesti menggunakan BORANG 1 (Kaedah 2, Kaedah- Kaedah Pengambilan Tanah
1998

DISERTAKAN:
i.    Kertas cadangan/kertas kerja projek yang akan dibuat di atas tanah yang akan diambil
ii.   pelan tata atur projek yang akan dijalankan dan pelan tanah lot-lot yang akan diambil
iii. lapuran permulaan (anggaran) nilaian tanah yang akan diambil yang disediakan oleh  Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.
iv.  membuat bayaran fee dan deposit

Rabu, 25 Julai 2012

Tidak Kemaskini

Hari Isnin 23 Julai dan Selasa 24 Julai tidak dapat kemaskini blog kerana hari Isnin menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal pindaan Akta Pengambilan Tanah 1960 di JKPTG Putrajaya dan hari Selasa memenuhi undangan Jabatan Perancangan Bandar Negeri Perak (Unit PerakGIS) menyampaikan ceramah berkaitan dengan hakmilik, klasifikasi tanah, kategori, syarat dan sekatan untuk pegawai dan kakitangan unit yang baru ditubuhkan.

Ahad, 22 Julai 2012

Bayaran Pecah Pisah (Severance)

Terlebih dahulu saya mengucapkan 'SELAMAT BERPUASA RAMADHAN' kepada pembaca yang beragama Islam. Hari ini perbincangan berkaitan dengan 'Bayaran Pecah Pisah'

Bolehkah tuanpunya tanah menuntut bayaran ‘pecah pisah’ apabila tanahnya diambil dan bolehkah Pentadbir Tanah membuat perintah supaya bayaran tersebut dibuat?

Persoalan di atas ditanya oleh seseorang yang mewakili agensi pembangunan di utara Semenanjung iaitu MADA yang terpaksa membayar kos pecah pisah yang agak tinggi/besar.

Berdasarkan perenggan/para 2(c) Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960:


‘kerosakan jika ada yang ditanggung atau mungkin ditanggung oleh orang berkepentingan itu semasa Pentadbir Tanah mengambil milik tanah tersebut, disebabkan oleh pengasingan (severing) tanah itu daripada tanahnya yang lain’

HENDAKLAH DIPERTIMBANGKAN bermaksud bolehlah dibayar.

 

Berdasarkan nota ceramah daripada beberapa orang Pegawai Penilai dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta yang menyempaikan ceramah di INSTUN, pecah pisah bermaksud kejatuhan nilai tanah baki disebabkan oleh pemisahan tanah akibat dari pengambilan. Terdapat dua keadaan nilai tanah akan jatuh iaitu:

 i.   kerosakan disebabkan oleh kehilangan sebahagian tanah yang telah diambil
ii.   kerosakan kerana sebahagian tanah dipisahkan dengan 
      sebahaian yang lain                                         

Daripada keterangan di atas, jika tanah terpisah akibat pengambilan untuk pembinaan jalanraya, lebuhraya, landasan keretapi, tuanpunya tanah mesti dibayar kos pecah pisah kerana, tuanpunya tanah terhalang untuk melintas/menyeberang secara terus antara dua bahagian yang terpisah kerana adanya pagar atau pembahagi jalan (sama ada ditepi atau ditengah jalan) dan ini menyebabkan berlaku susut nilai tanah tersebut.

Ini dapat dibuktikan lagi dengan kes Boustead Estate Agency Sdn. Bhd v Pentadbir Tanah Baling [2007] 4 CLJ 375

Dalam kes ini, baki luas tanah yang terpisah akibat pembinaan jalan raya yang baru adalah 362.29 ekar dan Mahkamah Rayuan memerintahkan dibayar kos pecah pisah sebanyak RM1,748,592.00 dengan perkiraan RM16,000.00 x 30% (susut nilai tanah) x 364.29 e

Sebaliknya, pada pandangan saya jika pecah pisah berlaku kepada tanah sawah padi disebabkan pengambilan untuk pembinaan tali air, kos pecah pisah tidak perlu dibayar kerana tuan punya tanah mendapat faedah secara langsung dari tali aiar yang akan dibina sama ada untuk mengairi sawah dan jalan keluar masuk dan dengan tidak secara langsung akan meningkatkan nilai tanahnya.

Rabu, 18 Julai 2012

Soal Jawab Pengambilan Tanah

Soalan Dari Pejabat Tanah Jasin
Semasa carian rasmi dibuat, keluasan lot adalah 2 hektar dan ada endorsan Borang K untuk pengambilan sebelum ini seluas 1 hektar. Ukuran semula dibawah seksyen 25 belum lagi dibuat. Sekarang (2011) terdapat pengambilan tanah yang baru dan Borang K akan dikeluarkan. Persoalannya di dalam ruangan luas lot di dalam borang K yang baru perlu dimasukkan 2 ha atau baki 1 ha?

Pandangan/Jawapan:
Di dalam ruangan luas lot dalam Borang K adalah 2 hektar, kerana hakmilik tersebut (hakmilik lama) masih wujud (ukuran semula dibawah seksyen 25 masih belum dibuat).

Selasa, 17 Julai 2012

Soal Jawab Pengambilan Tanah

Soalan daripada Pem. Undang-Undang PT Marang
   (e-mail dan ejaan, ayat tidak diubah)

saya l.a. dr Pejabat Tanah Marang, Terengganu ingin bertanya sikit hal mengambil milik tanah APT 1960.

Sekiranya pampasan telah dibayar kepada tuan tanah, borang K pula dalam proses untuk dikeluarkan, adakah tuan tanah yg telah terima borang H dan mengambil cek pampasan masih berhak ke atas apa-apa benefit yg boleh didapati di atas tanah yg telah diambil itu? Sebagai contoh, tuan tanah masih meminta sewa rumah atas tanah yg diambil drpd penyewa yg dlm proses pindah dan memaklumkan penyewa untuk menyerahkankunci rumah kpdnya.

Pandangan/Jawapan:
Mengikut seksyen 22 Akta Pengambilan Tanah, ambil milik secara rasmi bermakna, penyampaian Borang K kepada penduduk, tuanpunya berdaftar dan pihak berkuasa pendaftaran. Apabila tindakan tersebut dibuat bermakna, penduduk, tuanpunya mesti keluar dari tanah tersebut dan agensi pemohon boleh memasuki tanah tersebut TETAPI APABILA BORANG K TIDAK DIKELUAR DAN DISERAHKAN TUAN TANAH BERHAK MENGUTIP SEGALA HASIL DARI TANAH TERSEBUT.

Oleh itu dinasihatkan selepas sahaja bayaran dibuat BORANG K HENDAKLAH DISERAHKAN KEPADA SEMUA ORANG yang dinyatakan dibawah seksyen 22 tersebut. Seperkara lagi apabila Borang K dikeluar dan diserahkan, seksyen 23 mesti dilakukan kerana jika tidak tanah tersebut masih kepunyaan tuan tanah asal sepertimana dinyataka dibawah seksyen 66

Isnin, 16 Julai 2012

Soal Jawab Pengambilan Tanah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera
Hari Khamis 12 Julai dan Jumaat 13 Julai tidak dapat kemaskini blog kerana dijemput oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa berceramah pada Kursus Asas Tanah di Wisma Tun Sambanthan Kuala Lumpur. Dalam tempoh satu hari setengah berceramah, sambutan dari peserta amat menggalakkan (banyak soalan yang dikemukakan) sehingga setiap satu tajuk tidak dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang diberikan. Satu lagi pengalaman baru adalah pada tarikh-tarikh tersebut saya berulang-alik dari Tanjung Malim ke KL menggunakan ETS Keretapi Tanah Melayu Berhad (puashati kerana perjalanan yang cepat dan menepati masa)

Soalan daripada En. Hasnan JKPTG Negeri Sembilan
Keluasan pengambilan yang diwarta seksyen 8        1.3 ha
Perintah dan bayar pampasan                                     0.5 ha (pengambilan sebenar)

Keluasan pengambilan dalam Borang K                   1.3 ha
(Borang K telah dikeluar, diserah dan diendorkan)

Bolehkah penarikan balik dari pengambilan dibuat?

Pandangan/Jawapan
Tidak boleh. Ini berdasarkan seksyen 35(1) Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menyatakan “Pihak Berkuasa Negeri adalah bebas untuk menarik balik daripada pengambilan mana-mana tanah yang masih belum diambil milik
Ini bertepatan dengan perenggan 24.1 Manual pengambilan Tanah yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan

Rabu, 11 Julai 2012

Soal Jawab Pengambilan Tanah

Masalah JKPTG Pulau Pinang
Bolehkah tanah yang ada bangunan diambil melalui Perakuan Kedesakan (Certificate of Urgency) Borang I di bawah seksyen 19, bagaimana proses dan kesannya?

Pandangan/Jawapan:
Boleh sepertimana yang dinyatakan di bawah seksyen 20 Akta Pengambilan Tanah 1960.
Proses:
a.  Pengambilan melalui Perakuan Kedesakan Borang I mesti diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan diwartakan di bawah seksyen 8.

b.  Pengambilan melalui Perakuan Kedesakan hanyalah berkaitan dengan pengambilan untuk maksud awam di bawah seksyen 3(1)(a) dan kemudahan awam dibawah seksyen 3(1)(b) sahaja

c.  Perakuan Kedesakan (Borang I) dikeluar dan ditanda tangani oleh Pengarah Negeri dan diberikan kepada Pentadbir Tanah (arahan supaya mengambil milik tanah tersebut iaitu mengeluar dan menyerahkan Borang K) pada atau selepas 15 hari dari tarikh Borang E ditampal.

d.  Pentadbir Tanah keluar dan serahkan Borang K melalui tata cara seksyen 22 Akta Pengambilan Tanah

e.  Mengikut seksyen 20 pula, ambil milik  tanah yang ada bangunan tidak melibatkan kawasan yang ada bangunan dan akses ke bangunan tersebut iaitu hanya melibatkan kawasan yang tiada bangunan sahaja.

Kesan:
Mengikut seksyen 32(1),(1C) Akta Pengambilan Tanah, oleh kerana ambil milik (serah Borang K) adalah lebih awal daripada bayaran pampasan, maka caj bayaran lewat (late payment carges) pada kadar 8% hendaklah dibayar berdasarkan amaun pampasan tanah tanpa melibatkan pampasan bangunan kerana ambil milik hanya berlaku kepada tanah sahaja dan dikira mulai dari tarikh Borang K diserah sehingga tarikh pampasan dibayar nanti

Isnin, 9 Julai 2012

Soal Jawab Pengambilan Tanah

Perbincangan mengenai isu yang sering dilupakan diberhentikan mulai minggu ini kerana setakat ini tiada lagi isu yang patut di utarakan. Mulai hari ini Isnin 9 Julai 2012, saya akan memaparkan persoalan yang berkaitan dengan pengambilan tanah yang dikemukakan sama ada melalui sms, telefon ataupun e - mail kepada saya dan jawapan yang diberikan.

Soalan daripada Pen. Pentadbir Tanah Pontian
Keseluruhan satu lot tanah (ditanam dengan kelapa sawit) terlibat dengan pengambilan. Tanah tersebut diperolehi secara pembelian melalui pinjaman bank. Persolananya, tuan tanah memohon supaya pampasan dibayar berdasarkan nilai tanah semasa pembelian dibuat dan tuan tanah juga memohon supaya dibayar kehilangan pendapatan dari hasil tanah tersebut.

Pandangan/Jawapan:
Berdasarkan perenggan/seksyen 1(1A) Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960, nilaian pembelian tersebut boleh diambil kira sebagai asas nilai tanah untuk bayaran pampasan jika transaksi (jual beli) dibuat dalam tempoh 2 tahun SEBELUM pewartaan seksyen 8, tetapi jika sekiranya transaksi/jual beli dibuat SELEPAS warta seksyen 8, nilai jual beli tidak boleh diambil sebagai nilai pasaran tanah seperti yang dinyatakan di bawah Perenggan 1(1C) jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960.
Mengenai bayaran kehilangan pendapatan pula, pada pandangan saya berdasarkan seksyen 14(5) Akta Pengambilan Tanah 1960, Pentadbir Tanah boleh membayar kos kehilangan pendapatan beliau dari hasil kelapa sawit tersebut dan tuan tanah mestilah mengemukakan bukti sebelum bayaran boleh dibuat.

Jumaat, 6 Julai 2012

Ulasan Akhbar

Dimuka hadapan Akhbar Utusan Malaysia keluaran hari Khamis 5 Julai 2012 berbunyi:

'Kerajaan Pulau Pinang mahu ambil tanah untuk bina universiti'

'JANGAN AMBIL TANAH KAMI' dan berita penuhnya di muka surat 5

Pada pandangan saya berita tersebut hanya untuk memanaskan semula berita yang telah sejuk dan pernah disiarkan oleh akhbar yang sama keluaran 18 Oktober 2010 yang lalu (ditulis oleh NURUL HUDA HASSAN) dengan tajuk 'Penduduk Genting Balik Pulau tekad pertahan kampung - BANTAH AMBIL TANAH UNTUK IPT'. Saya masih ingat lagi kerana keratan berita tersebut saya simpan untuk diceritakan kepada peserta kursus keadaan yang sebenar yang telahpun dianggap selesai kerana proses pengambilan tanah telahpun berlalu. MENGIKUT SUMBER YANG BOLEH DIPERCAYAAN IAITU DARIPADA SEORANG PESERTA DARI SEBUAH JABATAN KERAJAAN PERSEKUTUAN DI PULAU PINANG, MEJORITI TUANPUNYA TANAH DAN PENDUDUK SEKITAR AMAT BERSETUJU TANAH TERSEBUT DIAMBIL KERANA ADA SESUATU? DIATAS TANAH TERSEBUT YANG MENGGANGGU MEREKA

Khamis, 5 Julai 2012

Sambungan Tindakan Yang Sering Di Lupakan

Hari semalam tidak dapat mengemaskini blog kerana sepanjang hari berceramah di Trolak untuk Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA)

Sering timbul persoalan: Perlukah diwarta semula jika keluasan pengambilan bertambah selepas ukur semula baki lot apabila selesai proses pengambilan tanah

Berdasarkan seksyen 14(4) Akta Pengambilan Tanah, jika award yang dibuat oleh Pentadbir Tanah melebihi 1/4 ha atau 1% (yang mana lebih luas) dari keluasan tanah terjadual, maka lebihan tersebut hendaklah diwartakan semula dibawah seksyen 8.

Kenyataan di atas adalah berkaitan dengan award/perintah yang akan dibuat

Persoalan yang ditimbulkan adalah berkaitan dengan seksyen 28. Mengikut seksyen ini, jika wujud perbezaan antara keluasan tanah diambil dengan keluasan tanah dijadualkan, perbezaan itu hendaklah dinilai/bayar mengikut kadar yng sama seperti Borang G terdahulu. Lanjutan daripada itu, mengikut seksyen 32(2), bayaran tersebut hendaklah ditambah dengan caj bayaran lewat 8% setahun mulai dari tarikh tanah tersebut diambil milik.

Oleh yang demikian, saya berpendapat perbezaan tersebut tidak perlu diwartakan semula dibawah seksyen 8

Isnin, 2 Julai 2012

Sambungan Tindakan Yang Sering Dilupakan

Hari ini dari pagi hingga tegahari berceramah di INSPEN, tajuk Prosedur dan Proses Pengambilan Tanah. Petang baru dapat kemaskini blog. Esok berceramah untuk Jabatan Pembangunan Orang Asli Malaysia (JAKOA) kat Trolak.


Ambil Milik

Ambil milik bermaksud pengeluaran Borang K dan ambil milik secara rasmi (formal possession) bermaksud penyampaian (serving) Borang K kepada -

i.   penduduk tanah itu,
ii.  tuanpunya tanah berdaftar jika dia bukan penduduk dan
iii. pihak berkuasa pendaftaran (registering authority).

Apabila Borang K telah diserahkan, penduduk, tuanpunya tanah perlu keluar dari tanah yang terlibat dengan pengambilan dan agensi pemohon boleh memasukki tanah tersebut.
Seterusnya mengikut seksyen 23, menjadi kemestian kepada pihak berkuasa pendaftaran (unit/bahagian pendaftaran) membuat cacatan/endorsan/wasilan pada dokumen hakmilik daftar/Daftar Pegangan ( Register of Holdings) atau Register of Approved Applications yang mana berkaitan apabila menerima salinan Borang K.

Apabila endorsan telah dibuat, berdasarkan kepada seksyen 66, tanah tersebut terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri sebagai tanah kerajaan dan bebas dari bebanan.

Kesimpulannya catatan/endorsan/wasilan Borang K di dalam dokumen hakmilik daftar MESTI dibuat. Dari pertanyaan yang dibuat, masih banyak lot-lot yang telah selesai pengambilan tetapi endorsan tidak dibuat.