Isnin, 10 Oktober 2011

Hak Akses dan Penggunaan Tanah Milik


HAK PIHAK BERKUASA NEGERI

Pengenalan:

a.    Mengikut seksyen 58 Kanun Tanah Negara, PBN boleh menjalan, membuat atau memasang dan selepas itu memeriksa, mengguna, menyenggara, membaiki, membuang atau meletak semula sama ada parit, pembentung, paip, kabel, pengalir air sama ada di dalam, melalui atas, bawah atau melintasi tanah milik dengan syarat tidak mengganggu atau menjejaskan bangunan yang terdapat di atas tanah tersebut.

b.    Pegawai, orang atau pihak yang bertindak bagi pihak PBN mempunyai kuasa memasuki tanah milik bertujuan untuk membuat pengukuran, menanda kawasan atau tempat yang akan dilalui oleh saluran/binaan yang tersebut di atas.

Proses:

a.  Mengikut seksyen 59(1), sekurang-kurangnya SEBULAN sebelum kerja-kerja di laksanakan, Pihak Berkuasa Negeri hendaklah mengisytiharkan dalam warta kerajaan satu notis yang mengandungi perihal kerja yang dicadangkan dan menamakan tempat dimana pelan projek tersebut boleh diperiksa .

b. Salinan-salinan notis hendaklah disampaikan kepada tuanpunya tanah, pemajak berdaftar, tenansi dan orang yang mendapat faedah daripada ismen dan notis juga hendaklah dilekatkan ditempat yang boleh dilihat di atas tanah dan Pejabat Penghulu atau balai raya dan di dalam kawasan Mahkamah dan masjid (jika ada) dan dipasar dan tempat awam (jika ada) sebagaimana difikirkan sesuai oleh Pengarah Tanah dan Galian.

c.  Dalam masa satu bulan dari tarikh penyiaran warta, penerima notis boleh membantah pelaksanaan kerja-kerja tersebut melalui Borang 3A Kanun Tanah Negara dan menyampaikannya kepada Pentadbir Tanah.

d.  Apabila notis disampaikan, kerja-kerja tidak boleh dilaksanakan dan Pengarah Tanah dan Galian hendaklah melantik seseorang yang difikirkan layak untuk membuat siasatan tentang kewajaran kerja yang akan dijalankan dan apa-apa bantahan dan melapurkan kepada Penarah Tanah dan Galian. Pengarah Tanah dan Galian akan membuat perintah sama ada membenarkan atau sebaliknya atau membenarkan dengan ubahsuai yang perlu.

Bayaran Kerosakan:

Mengikut seksyen 61, Kanun Tanah Negara bayaran kerosakan hanya yang melibatkan tanah, pokok dan tanaman sahaja yang akan dibayar kepada sesiapa yang berhak.

HAK ORANG PERSEORANGAN ATAU BADAN

Pengenalan:

Mengikut seksyen 61A pula, orang atau badan (sperti Tenaga Nasional, Lembaga Air, Telekom, Indah Water) yang berhajat untuk menjalankan kerja-kerja seperti di atas tetapi tidak mendapat keizinan daripada tuanpunya tanah, boleh memohon kepada Pengarah Tanah dan Galian Negeri untuk mendapatkan perintah membenarkan kerja-kerja tersebut dijalankan.

Proses:

a.  Apabila menerima permohonan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri hendaklah mengisytiharkannya dalam warta kerajaan satu notis yang mengandungi perihal kerja yang dicadangkan dan menamakan tempat dimana pelan projek tersebut boleh diperiksa .

b.  Salinan-salinan notis hendaklah disampaikan kepada tuanpunya tanah, pemajak berdaftar, tenansi dan orang yang mendapat faedah daripada ismen dan notis juga hendaklah dilekatkan ditempat yang boleh dilihat di atas tanah dan Pejabat Penghulu atau balai raya dan di dalam kawasan Mahkamah dan masjid (jika ada) dan dipasar dan tempat awam (jika ada) sebagaimana difikirkan sesuai oleh Pengarah Tanah dan Galian.

c.  Dalam masa satu bulan dari tarikh penyiaran warta, penerima notis boleh membantah pelaksanaan kerja-kerja tersebut melalui Borang 3A Kanun Tanah Negara dan menyampaikannya kepada Pentadbir Tanah.

d.  Apabila notis disampaikan, Pengarah Tanah dan Galian hendaklah melantik seseorang yang difikirkan layak untuk membuat siasatan tentang kewajaran kerja yang akan dijalankan dan apa-apa bantahan dan melapurkan kepada Penarah Tanah dan Galian. Pengarah Tanah dan Galian akan membuat perintah sama ada membenarkan nya atau sebaliknya atau membenarkan dengan ubahsuai yang perlu.

e.  Jika PTG membenarkan kerja-kerja dijalankan, mestilah mematuhi syarat-syarat yang diperintahkan oleh Pengarah Tanah dan Galian.

Bayaran Kerosakan:

Mengikut seksyen 61(6), jika kerosakan berlaku kepada tanah, pokok atau tanaman, tuanpunya hendaklah diberikan pampasan atas persetujuan kedua-dua pihak.

KESIMPULAN

Pihak Berkuasa Negeri, orang perseorangan atau badan boleh memasuki mana-mana tanah milik untuk menjalankan kerja-kerja seperti pemasangan paip air atau gas, kabel elektrik atau telefon, pembetung dan seterusnya menjalankan penyelenggaran ke atas binaan tersebut TETAPI mesti mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Kanun Tanah Negara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan