Ahad, 23 Oktober 2011

Soalan dan Jawapan berkaitan Pengambilan Tanah

Mulai hari ini 23 Oktober 2011, saya akan siarkan soalan yang diterima berkaitan dengan pengambilan tanah beserta jawapan yang diberikan tidak lagi seperti sebelum ini yang saya kumpul terlebih dahulu, untuk panduan semua. Artikel pula bergantung masa yang terluang.

Soalan berkaitan Kes Sebenar

            Lot 150 sek. 18 GRN 3605 Bandar Alor Setar Daerah Kota Setar seluas 7395 meter persegi diambil keseluruhannya mengikut warta kerajaan Negeri Kedah N0.500 bertarikh 9 hb. Jun 2011 mengikut seksyen 3(1)(b) dan (c) Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi maksud Pembangunan Semula Plaza Tunku Yaacob oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah. Di atas tanah tersebut telahpun terdiri bangunan perniagaan setinggi 4 tingkat (siap lebih kurang 45% -50%) dan terbengkalai sejak 17 tahun yang lalu. Tanah tersebut juga terikat dengan beberapa kemasukan kaveat persendirian yang dimasukkan oleh pembeli-pembeli petak bangunan tersebut, ada diantaranya telah membuat pembayaran sebanyak 50% daripada harga jualan melalui pinjaman bank dan ada yang telah menyelesaikan bayaran secara tunai.
Persoalannya adakah pemasuk kaveat tersebut berhak ke atas bayaran pampasan dan jika berhak berapakan bayarannya?

Jawapan/Pandangan:

            Mengikut seksyen 2 APT 1960, ‘orang berkepentingan termasuklah tiap-tiap orang yang menuntut sesuatu kepentingan pada pampasan yang dibuat kerana pengambilan tanah di bawah Akta ini…..’

Mengikut seksyen 11(1)(c) pula, ‘Pentadbir Tanah hendaklah sebagai tambahan kepada  memberi notis awam dalam Borang E, menyampaikan salinan-salinan notis itu mengikut cara yang ditetapkan oleh seksyen 53 kepada mana-mana orang yang ada kepentingan berdaftar pada tanah itu’.

Berdasarkan kedua-dua seksyen tersebut, pemasuk kaveat adalah orang berkepentingan yang akan dipanggil semasa siasatan dan berhak mendapat pampasan. Walau bagaimanapun tuntutan pemasuk kaveat (pembeli-pembeli petak) terhadap harga/nilai petak mereka tidak boleh dipertimbangkan oleh Pentadbir Tanah kerana:

i.          petak hanya wujud di dalam perjanjian jual beli, tetapi petak yang sempurna tidak wujud kerana projek tersebut terbengkalai begitu lama.

ii.          semua bayaran yang telah dibuat secara tunai atau melalui pinjaman bank telahpun dibayar kepada pemaju/pemilik tanah? Oleh pembayar atau pihak bank berdasarkan perjanjian jual beli yang telah dibuat.

Oleh yang demikian pada pandangan saya segala tuntutan kerugian akibat pembayaran tersebut MESTI dibuat kepada pemaju/tuan tanah? dan bukannya kepada pemohon iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah/pihak yang akan memajukan projek tersebut. 

ATAU

Pentadbir Tanah memerintahkan supaya sebahagian daripada wang pampasan yang telah diperintahkan dan akan diterima oleh tuan tanah, dibayar kepada pemasuk kaveat (pembeli-pembeli petak) kerana kesalahan yang mereka lakukan iaitu tidak menyiapkan bangunan tersebut. Malangnya sepertimana yang telah diketahui, tuan tanah telah meninggal dunia dan semua hartanya terletak kepada  pihak Pemegang Amanah Raya. Dengan yang demikian, untuk mendapatkan bayaran tersebut pemasuk kaveat (pembeli-pembeli petak) mesti mendapatkannya melalui satu perintah Mahkamah dan bukan melalui bayaran yang diperintahkan oleh Pentadbir Tanah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan