Ahad, 16 Oktober 2011

Pengambilan Melalui Borang I dan Melibatkan Bangunan

     
Pendahuluan:

Menurut seksyen 2 Akta Pengambilan Tanah 1960, ‘bangunan’ termasuklah apa-apa rumah, pondok, bangsal atau kurungan berbumbung, sama ada digunakan bagi maksud tempat kediaman manusia atau selainnya, apa-apa dinding, pagar, platform, system pembentungan, tangki bawah tanah, dinding adang, dok, jeti, pelantar pendaratan, kolam renang, jambatan, landasan keretapi, dan apa-apa binaan sokongan atau bahan asas berkaitan dengan bangunan

Proses:

Apabila Pihak Berkuasa Negeri meluluskan pengambilan tanah dan pengambilan tersebut dikehendakki dengan kadar segera, menurut seksyen 19, Pengarah Negeri (Pengarah Tanah dan Galian) akan mengeluarkan BORANG I pada atau selepas tamat tempoh lima belas hari dari tarikh notis awam Borang E dilaksanakan dan menyerahkannya kepada Pentadbir Tanah bertujuan MENGARAHKAN Pentadbir Tanah mengambil tanah tersebut dengan serta merta iaitu dengan mengeluar dan menyerahkan BORANG K (Ambil milik secara formal {Formal Possession}). Melalui cara ini agensi pemohon boleh memasuki tanah dengan segera PADA ATAU SELEPAS borang K diserahkan untuk menjalankan projek walaupun bayaran pempasan belum dibuat.
Oleh kerana terdapat ‘bangunan’, setelah Borang K diserahkan, menurut seksyen 20, agensi pemohon hanya boleh memasuki dan menjalankan kerja-kerja di/pada kawasan yang tiada bangunan sahaja, bermaksud bangunan dan jalan ke bangunan tersebut tidak boleh dimasuki/diusik/dirosakkan. 

Sehubungan dengan itu, Pentadbir Tanah hendaklah mengambil tindakan mengikut seksyen 20(a) dan (b) dengan menyerahkan  notis BORANG J kepada penduduk bangunan supaya mengosongkan nya dalam tempoh tidak lebih dari 60 hari dari tarikh notis.

Tuanpunya bangunan juga akan diberi notis tersebut (Borang J) dengan menawarkan pampasan nilai bangunan bagi bangunan kekal dan kos meroboh, memindah dan mendirikan semula bagi bangunan sementara

Mengikut seksyen 21 pula, apabila pemunya bangunan menerima tawaran, Pentadbir Tanah barulah boleh mengambil milik bangunan selepas tamat tempoh seperti dinyatakan dalam Borang J. Jika tidak bersetuju, bangunan tersebut hanya boleh diambil apabila nilaian bangunan telah diperolehi daripada penilai yang diiktiraf (kompeten)

Pentadbir Tanah perlu mengambil perhatian iaitu olih kerana Borang K diserahkan terlebih dahulu sebelum bayaran pampasan dibuat, caj bayaran lewat 8% mesti dikira dan dibayar kepada tuanpunya tanah tersebut mulai dari tarikh penyerahan Borang K

Pandangan:

1.    Dalam keadaan yang lain pula, iaitu jika di atas tanah tersebut terdapat terlalu banyak bangunan (tuan punya tanah yang ramai), adalah dinasihatkan supaya PENGAMBILAN TANAH TIDAK DIBUAT MELALUI PENGELUARAN BORANG I kerana agensi pemohon tidak dapat menjalankan kerja-kerja di atas tanah sehingga bangunan tersebut dikosongkan seperti dikehendakki oleh seksyen 20 dan 21, TETAPI AGENSI PEMOHON MESTI MEMBAYAR CAJ BAYAR LEWAT (Late  payment charges) 8% kepada tuan tanah dikira mulai dari tarikh penyerahan Borang K sehingga bayaran pampasan dibuat seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 32(1) dan 32(1C)

2.    Ada juga Pentadbir Tanah telah mengambil tindakan mengeluar dan menyerahkan notis Borang J kepada pemilik bangunan/tanah yang masih tidak mengosongkan bangunan/tanah walaupun bayaran pampasan telah lama dijelaskan dan notis Borang K telalah lama dikeluar dan diserahkan. Tindakan tersebut adalah tidak betul dan tidak mengikut undang-undang kerana apabila pemilik bangunan/tanah masih tidak mengosongkan bangunan/tanah selepas pampasan dijelaskan dan notis Borang K telah diserahkan, Pentadbir Tanah hendaklah mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut  Kanun Tanah Negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan